Total Pageviews

Wednesday 27 July 2011

KURSUS

           "  Puan, tahun ini, kursus yang puan hadiri masih tidak cukup 7 hari "  Aku sedia maklum tentang hal ini.  Perasaan ku berbelah bagi antara nak pergi atau tidak. Namun aku kena pasrah untuk memenuhi 'kuota' tersebut. Aku wajib cari kursus untuk pergi.

            Bukan aku tak mahu memohon. Awal tahun lagi aku dah bersedia untuk pergi. Telah memilehpun bulan dan tarikh yang sesuai. Tulah orang kata, kalau nak ikut kawanpun kena juga fikir diri sendiri. Kawan yang seorang ini selalu ingin berteman untuk ke sesuatu tempat. Aku sebenarnya malas nak berkira sangat hal ini. Bila dia kata tak mau mengisi borang permohonan melalui internet, aku akur., mengikut sahaja. "Kita cari kursus dekat-dekat jelah, yang pejabat anjur" Tanpa banyak fikir aku turutkan sahaja. Terfikir juga untuk mengisi borang itu sendiri tanpa dia, tapi tak sampai hati. Hai itulah, kalau ikutkan hati mati, ikut  rasa, diri sendiri yang binasa.

           Hari ini, bila di maklumkan seorang demi seorang, hanya aku sorang saja yang masih memerlukan 5 hari lagi. Member yang seorang ini dalam diam tinggal 2 hari lagi untuk mencukupkan hari kursusnya.  Terasa juga nak marah, tapi tak guna sebab salah ku juga kerana terlalu percaya.  Apapun, tahun ini, seingatku, hanya sekali, aku tak hadir kursus kerana demam.  Esok ada kursus, seorang rakan yang lain sepatutnya pergi tapi dia demam. Aku dicadangkan pergi tapi teman kepada rakan ini telah terlebih dahulu mempelawa orang lain pergi bersamanya. Tak sedap hati juga pergi mengambil tempat orang nanti lain pulak ceritanya. Tak palah aku, aku pergi kursus yang lain pula. Adalah rezeki ku nanti.  (Menyedapkan hati)  

            Balik ke rumah tadi, aku cuba buka laman web untuk cari kursus yang berbaki. Nekad untuk pergi sendiri dan seorang dan minta bantuan keluarga untuk hantar ke tempat yang di tuju. Malang laman web tak boleh di buka. Ada masalah rasanya. Tadi kat pejabat pun dah cuba tak boleh juga. Ada masa 3 bulan lagi untuk aku pergi kursus. Insya Allah akan cukup juga jumlah kursus yang wajib ku hadiri nanti.

             Tahun depan, awal tahun aku nekad pergi awal. Isi borang sorang-sorang, sebab serik rasanya dah 2 tahun kena macam ni.  Apapun, aku masih ingin menjaga hati-hati orang di keliling ku, walau hatiku sendiri sakit.  Ini, antara sebab mengapa aku kadang kala ingin bersara awal.

             " SABARLAH HATI, SABARLAH, TENANGLAH FIKIRAN, TENANGLAH "


Friday 22 July 2011

Drama Korea

Seorang kawan di pejabat satu hari bertanya,  " Korang ni, tengok cerita melayu,  cerita orang puteh, tengok cerita China,  Cerita Hindustan Dan sekarang ni tengok cerita Korea tau ke benda yang diaorang cakap tu? "  Selamba seorang kawan lagi menjawab "  Aku, kalau tengok cerita melayu aku tau cakap orang puteh, cerita orang puteh aku tahu bahasa melayu, tengok cerita, cina, korea dan hindustanpun aku tau bahasa Melayu jugak, sebab aku baca sarikata."  Tergelak besar kami mendengarnya. Tulah kalau tak tahu dan tak faham bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris.  Bertahun-tahun menonton drama / filem Cina, Hindustan di TV. ramai yang memahami kerana selain dari sarikata, fahamlah juga sikit-sikit apa yang dicakap dek pelakon tu.  Ini bab drama / filem Korea, apa yang aku tau hanya  sepatah perkataan je  "CHAYOK". Mungkin aku sengaja tak mahu belajar.
          Drama Korea ni berhantu gamaknya.  Aku kata gitu bukannya apa, bila dah tengok tak boleh berhenti, tiap-tiap hari nak tengok hingga habis cerita.  Teringat Drama  'WINTER SONATA" yang pernah disiarkan di TV beberapa tahun lalu (tak ingat tahun bila). Ceritanya sungguh sedih, kisah percintaan yang sungguh menyentuh perasaan.  Ketika itu, seluruh pelusuk negara demam cerita ini..  Aku juga tak terkecuali tapi ada juga aku miss tengok.  Kemudian bila cerita-cerita yang disiarkan kurang menarik hati, aku jarang-jarang menonton.

          Bila melanggan "ASTRO", dan tertengok rancangan "KBS WORLD" aku mula mengadap TV semula menonton lepas satu-satu filem dan drama bersiri setiap malam dari jam 9.00 hingga 10.15. Pernah aku menonton drama satu drama ini,  dari jam 10.00 hingga ke pukul 2.30 pagi.  Ceritanya taklah sesedap manapun, biasa je. cuma pelakonnya yang handsome dan cantik lawa tu yang memikat. Selain tu, adalah juga cerita-cerita ini yang menyentuh perasaan dan ada juga  yang memberi pengajaran.  Dalam pada tu juga, cerita Korea ini walaupun agak ke Inggeris sikit kalau bab cintan, tapi aku suka sebab pakaian mereka walau seksi tapi tak terlalu menjolok mata .  Korang faham tak apa aku cerita ni.   Ginilah bahasa mudahnya, bila bab bercinta mesti ada bab 'cium'. Kalau mereka berpakaian, yang dah berumur tu, macam orang-orang Malaysia juga, sopan gitu.  Mana yang muda, walau pakai short atau skirt pendek tak nampak sangat seksinya. Kebanyakannya tak seksilah kecuali watak tu memang nakkan pelakonnya seksi.

         Akibat dari menonton drama-drama ni, aku sering berebut TV dengan anak lelaki ku yang ada kat rumah ni. Bukan kerana apapun, bila siaran Bola Sepak atau pertandingan sukan lain bertembung dengan masa aku nak tengok cerita-cerita itu, masa tulah kami berebut. kalau tidakpun memang dia bagi aku tengok sebab dia ada waktu dia sendiri.  Apapun aku tak ralat sangat kalau tak dapat tengok waktu bertembung tu kerana drama-drama itu akan diulang tayang pada hari sabtu dan ahad pulak.  Sambil buat kerja rumah, lipat kain, relax-relax tu, bolehlah aku tengok semula mana yang tertinggal. Kalau pergi out station tak dapat tengok tu, ralat juga terutama bila tak dapat tengok ending.  Pernah juga, tengok drama ni, mula-mula dua tiga episod, lepas tu, ending baru tengok.  Aku memileh juga, bukan semuanya aku tengok.. .. sebab ada yang tidak menepati cita rasa. Biasalah kan ,  manusia....Akupun hanya manusia biasa yang punya cita rasa tersendiri. Biarlah apa orang nak kata, aku ni macam .....Tak kisahlah janji bahagia...

Friday 15 July 2011

Penunggu Rumah.

             Tak ingat pulak bila last pergi piknik, rasa macam dah lama sangat tak keluar jalan-jalan.  Memang dah lama sungguh aku tak keluar pada sabtu dan ahad. Asyek memerap dalam rumah saja. Teringin sebenar nya nak keluar jalan-jalan, pergi TC, BH , Sepat atau ke pusat beli belah. Mungkin orang tak percaya kalau aku kata, dah lama aku tak ke shopping kompleks, Megamall, EC Mall, KT, KP, bila kali akhir aku pergipun aku dah tak ingat. Dah lama juga aku tak ke KL, Melaka, PD, balik kampung. Tahun ni, lebih kerap ke utara atas urusan keluarga. Itupun kerana terpaksa, kalau tidak, jadilah aku penunggu rumah sepanjang tahun.

              Sejak suami ku kerja jauh, dan hanya balik hujung minggu kira2 6 tahun dulu, masa aku banyak di habiskan di rumah. Jaga  anak-anak, buat kerja rumah, sesekali menjahit.( Sejak akhir-akhir ni saja dah pandai berFB.) Sunyi sebenarnya. Bila dia balik banyak masa di rumah saja. Anak-anak dah besar dan aku tak ada apa-apa lagi nak cari di pusat beli belah. Mentelah pulak keadaan kewangan yang tidak begitu mengizinkan. Perbelanjaan untuk anak-anak lebih penting dari diri sendiri. Bila suamiku kena strok, 3 tahun dahulu, dia pindah balik ke rumah dan berulang hari-hari ke tempat kerja. Kadangkala, dia lebih banyak mc atau cuti. Dek kerana ini jugalah, masa ku lebih banyak di rumah. Dia juga lebih banyak rehat di rumah.

             Dulu, saban minggu kami akan keluar jalan-jalan, bawa anak-anak. Bila meningkat usia mereka, mereka tidak lagi mau bersama ketika berjalan-jalan kecuali jika keluar daerah atau pergi makan malam bersama. Kasihan pada si kecil kerana dia tidak mengalami apa yang di lalui oleh abang-abangnya. Diapun lebih banyak di rumah. Kawan-kawannya, hanyalah di sekolah. Di rumah dia lebih banyak duduk depan TV dan PC. Itulah dunianya. Sesekali bila ke kedai atau pasar membeli barang dapur (itupun dilakukan oleh suamiku) dia akan turut serta.  Aku tak ke mana-mana melainkan melakukan kerja rumah.

              Bukan aku tak mau ikut serta ke pasar atau ke kedai, tapi aku lebih suka melakukan kerja rumah dan menunggu suamiku membawa barang dapur untuk di simpan atau di masak. Sejak usia telah meningkat dan kesihatan tidak mengizinkan, aku lebih suka begini. Sekurang-kurangnya aku tak keletihan, berjalan dan balik melakukan kerja rumah.  Namun bahagiakah aku begini?   Secara lahirnya memang aku gembira begitu tapi zahirnya, aku rindu untuk berjalan-jalan seperti dahulu. Berkelah, bergembira dan berkumpul bersama.

            Aku harap satu hari nanti, aku tidak lagi, masuk rumah petang jumaat dan keluar rumah isnin pagi.
Apa adakah orang lain yang macam aku, berkurung dalam rumah.? Sekarang aku masih kerja, kalau lah aku dah bersara, begini cara hidupku, alamat aku tak jumpa orang dan tak kenal oranglah.  Harap masa dan keadaan berubah.

Saturday 2 July 2011

CUCUR UDANG

Cucur udang yang sedap mana nak dapat sekarang?   Cucur udang sejenis makanan yang biasanya di makan untuk sarapan, minum pagi atau minum petang. Diperbuat dari tepung gandum , di dalamnya di bubuh taugeh, garam, sedikit serbuk kunyit dan daun kucai. (Ada juga yang mengaul udang bersama adunan tepung)  Di atasnya di letak seekor udang semasa mengoreng. Dulu, aku tahu sebuah gerai di luar pagar Sek Men. Sulaiman Bentong.  Memang sedap cucur udang makcik tu, terutama  sosnya.

            Memang favorite akulah cucur udang ni.  Dari kecil, aku memang suka makan yang pedas, masam dan manis tambah pula ada rasa bawang puteh sikit. Kalau banyak sangat bawang puteh, pedor pulak rasanya. Gitu juga kalau banyak cuka, masam sangat, kalau lebih gula, manislah pulak.  Susah sebenarnya nak membuat sos pencecah cucur udang yang sedap ni.   Ada orang suka makan dengan sos / kuah kacang.

            Teringat dulu, masa aku darjah satu dan dua masa duduk dekat si rusa, ada pasar malam, berebut orang nakkan cucur udang pakcik tu.  Bapak selalu beli. Aku apa lagi makan jelah. Bila balik duduk kat kampung, aku tak lagi makan cucur udang, aku lebih banyak makan jemput-jemput bilis. Dah tentu sosnya aku buat sendiri. Tulah,  kadangkala sedap kadangkala termasam atau termanis.

            Bila bersekolah di Bentong, berjumpa dengan cucur udang yang di jual kat seberang jalan, di luar pintu pagar sekolah. Kadang kala sampai 5 aku beli, makan sorang dan tak makan benda lain dah.  Cerita pasal cucur udang makcik ni, aku teringat, bila pukul 12 tengahari je, kami akan collect (kutip) duit  20 sen  seorang, satu kelas termasuk untuk cik gu sekali (Bodek cikgu konon) kerana mana boleh membeli di luar sekolah , pada waktu sekolah dan cik gu tengah mengajar.  Bag sekolah aku jadi mangsa kerana selain besar, teballah pulak. Orang/cik gu tak tahu kami membeli kecuali, makcik gerai tu dan  tukang beli. Mak cik tu, bila tengok member ni dengan bag besar tu dah tau dah sah nak beli banyak.  Member kelas ni, selamba keluar membeli. Kadang kala, kami suruh budak-budak kelas petang tu beli, berupahlah satu dua keping. Makan sekepingpun dah cukup masa tu. Tapi aku selalu beli lebih dari satu.  Kadang-kadang belanja orang juga. Tergelak teringat kenakalan masa tu. Cik gu pun boleh gelak dan makan sama kami.

            Bila aku bekerja dan menetap di Kuantan ni, memang banyak orang jual cucur udang tapi tak serupa dan sesedap cucur udang di P.D yang pernah ku makan lebih 40 tahun lalu dan cucur udang mak cik yang menjual di luar pagar Sekolah di Bentong dulu.  Alahai.....kenangan.

      

Friday 1 July 2011

Sahabat Baru Sahabat Lama

           Saban hari aku ditemukan dengan kenalan baru. Tempat ku bekerja sekarang sering menemukan aku dengan kenalan baru, sama ada melalui telefon atau melalui surat atau nota kecil mereka.  Sebenarnya ramai yang tidak pernah ku lihat rupa paras mereka. Ada yang ku kenal hanya suara mereka.

            Sahabat baru silih berganti, namun sahabat lama masih kekal di hati.  Tanpa mereka perjalanan hidupku tidak semeriah sekarang. Sahabat sama sekolah, sahabat sama mengaji, sahabat sama naik bas, sahabat sama-sama belajar menjahit,belajar menaip, belajar memasak. Sahabat sekampung yang kebanyakannya adalah saudara-mara ku sendiri.  Sahabat semasa mula bekerja dan sahabat yang masih kekal sepejabat. Sahabat yang telah meninggalkan pejabat dan sahabat yang telah bersara.  Sahabat yang ku temui ketika menginap di Hospital.  Tidak lupa juga pada sahabat serumah masa menyewa sebelum berumah tangga.  Jua pada sahabat yang pernah menjadi jiran tertangga.  Sesungguhnya, sahabat ku juga terdiri dari  sepupu-sepupu ku juga.

           Sesungguhnya sahabat lama adalah kenangan sepanjang hayat. Sahabat baru adalah permulaan untuk satu episod hidup yang entah bagaimana warnanya di masa hadapan.  Namun demikian, sahabat yang masih bersama adalah sahabat yang sama-sama berjuang mengharungi hidup semasa dan masa depan yang penuh bermakna serta penuh  cabaran..  

           Insya Allah, tidak akan ku lupakan segala yang pernah kita alami bersama wahai sahabat ku yang lama atau yang baru. Kalian akan kekal di sudut hatiku di tempat yang paling istimewa kerana tanpa kalian sapalah aku.