Total Pageviews

Wednesday 23 November 2011

HUJAN DAN BANJIR

Sejak awal pagi isnin, hujan mula turun membasahi bumi. Awan mendung menyelubungi alam sekeliling. Hujan lebat kadangkala renyai turun tiada henti. Beberapa negeri telah di tenggelami air. Sehingga saat aku menulis ini belum lagi dengar berita, Pahang di landa banjir. Namun ada sesetenggah tempat telah di naiki air. Ketika aku keluar ke Bandar tengah hari tadi, hujan lebat dan persimpangan jalan ke bandar dari rumahku di tenggelami air.(Tempat ini, memang kerap tenggelam jika hujan lebat) Longkang yang tersumbat puncanya.
          Hujan-hujan begini mengingatkan aku pada peristiwa 40 tahun dahulu. (Walaupun pernah berlaku banjir teruk di Kuantan tahun 2002 tapi tak seteruk tahun 1971 itu)   Ketika itu, hujan turun dengan lebatnya. Rumah wan sebelah ayahku (wan bawah - dia duduk di bawah bukit)  menjadi pulau kerana sekelilingnya sawah padi, sungai dan kolam telah dilimpahi air. Jambatan kayu yang menghubungi jalan ke rumahnya ditenggelami air dan ada  bahagian yang runtuh. Namun demikian, sawah padi yang menghubungi ke rumah wan dan aki sebelah ibuku (wan darat - kerana rumah di atas bukit) masih boleh dilalui oleh Wan Bawah.. Kami masih boleh ke rumahnya walau terpaksa meranduk air.  Lintah dan pacat tak terkira banyaknya. Ikan keli, haruanpun banyak juga......... (tak tergamak nak sebut geli).
          Aku ketika itu, menetap di rumah Wan Darat.  Hujan turun dengan lebat setiap hari dan aku memang tidak dibenarkan keluar rumah.  Dari rumah memang nampak sawah padi dipenuhi air. Memang nampak rumah Wan Bawah hampir di naiki air.  Adik ipar Wan Darat, selalu bercerita apabila balik dari kedai bahawa jalan  menghubungi bandar ke kampungku telah terputus. Bekalan makanan mula di edarkan kepada mangsa banjir.  Mak-mak saudarapun (kakak ayahku) telah berpindah ke rumah Wan Bawah. Walau banjir di keliling rumah, air tak masuk dalam rumah mahupun ke bawah rumah. Rumah mak long di hanyutkan air. Rumah mak ngah hanya di tenggelami air tapi sehingga ke lantai (Rumahnya tinggi - bawah rumahnya boleh berdiri).
         Satu hari,  Wan Darat mengajak aku  dan adik ke kedai tengok orang bagi bantuan. Mujur mak memberi izin bolehlah aku ikut serta (Aku bukan boleh kena hujan sangatpun - semputku datang tak tentu masa).  Menggunakan payung kertas (berlubang-lubang di makan lipas) kami, di bawa melihat 'Truck' askar membawa bantuan makanan.  (Beras dan  gula - jika tak silap).  Ketika itu, orang kampung riuh rendah memberitahu, jambatan menghubungi kampung ku dengan kampung mak long dan mak ngah hampir runtuh di hanyut banjir.  Ramai yang terperangkap tak boleh menyeberang. (Jika tak boleh menyeberang keluar ke kampungku, mereka akan terputus bekalan makanan dan keperluan lain. Mungkin akan berlaku kebuluran).  (Alhamdullah tidak berlaku semua itu).
           Mengikut Wan Darat, melihat jambatan yang di katakan hampir runtuh.  Ketika itu, hanya Allah saja yang tahu betapa takutnya aku melihat air sungai  yang keruh dan deras serta bunyi yang mengerunkan. Di seberang jambatan, berdiri beberapa orang yang cuba menyeberangi jambatan tersebut.  Ada yang telah berjaya menyeberangi.  Ketika seorang saudaraku juga, menyeberangi, jambatan tersebut tiba-tiba runtuh. Dia di hanyut oleh air ketengah-tengah sungai. (Berdebar sungguh masa itu) Namun, Allah masih menyayanginya kerana dia dapat berpaut pada dahan kayu yang tumbang ke tengah sungai dan di selamatkan oleh orang ramai.. (Dia meninggal juga di usia muda bebelas tahun kemudian). 
        Kemudiannya , bila banjir surut, banyak rumah di kampung tersebut yang hanyut.  Ramai yang kehilangan rumah dan harta benda. Aku sempat melihat rumah-rumah yang hanya tinggal tangga dan tempayan air saja. Rumah mak longku, di hanyutkan air hingga ke tepi jalan raya. Jambatan yang runtuh di ganti dengan rajang (rakit di ikat pada tali dan di tarik menyeberangi sungai). Kemudian, di ganti dengan buluh-buluh yang di susun menyeberangi sungai dan diletak dua keping papan supaya kanak-kanak  dan orang tua tidak jatuh (Termasuk aku yang penakut air) (Bila dipijak ramai-ramai tenggelam jugaklah). 
          Seingatku, dua tahun kemudiannya, ramai yang mendapat rumah banjir dan perkampungan tersebut kekal sehingga sekarang. Kampung-kampung lama di tepi sungai terus di tinggalkan dan menjadi hutan. Sungai tidak lagi meriah seperti dahulu (ramai yang menggunakan untuk mandi dan membasuh kain baju). Kini sungai tersebut hanya di kunjungi bila terputus bekalan air saja atau oleh kaki pancing.  Jambatan telah dua kali di bina baru. (Mulanya dibuat jambatan besi juga - boleh dengar bunyi jambatan tu sebatu jauhnya bila kereta lalu. Setelah itu dibena jambatan yang cantik dan tanah mak longku jadi korban pembangunan dengan imbuhan tentunya).
         Harapan serta doaku agar banjir tahun ni tidak sehebat banjir tahun itu ..Namun kita hanya boleh berdoa dan berusaha supaya tidak berlaku lagi banjir besar dan memusnahkan harta benda yang banyak Allah yang menentukan segalanya.

Friday 18 November 2011

AIR MATA MAK SU

17hb. November,  2011, Amira, anak bongsuku menyuruh aku ke sekolah. Aku malas sebenarnya hendak pergi ke sekolah hanya untuk ambil keputusan peperiksaan UPSR yang di umumkan pada hari tersebut. Bukan tak mahu pergi sebenarnya tapi malas nak keluar pejabat kerana perlu melalui banyak tapisan. Geram, menyampah, baik aku duduk di pejabat saja.

             Namun mengenangkan anak perempuan tunggalku ini,  beria-ia benar menyuruh aku ke sekolahnya.
{Malam sebelum tu, seorang rakan kelasnya memberitahu keputusan agak mengecewakan guru sekolah.  Tidak ramai yang mendapat 5A..  Semalaman dia menanggis dan puaslah juga aku memujuknya. Masih banyak masa untuk dia terus melangkah dan terus maju. UPSR bukan segala-galanya. Ia hanya satu permulaan. Apa yang penting adalah meneruskan usaha.} Pagi itu, aku berpakat dengan abahnya akan ke Sekolah senyap-senyap. Sampai ke sekolah jam 9.50 pagi, aku diberitahu agar mendaftar dahulu.  Ingatkan mendaftar kedatangan ibu bapa, rupa-rupanya mendaftar untuk menerima rezeki. Hanya setelah itu barulah, aku bertemu dengan si bongsuku.

              Ketawa besar aku bila dia memberitahu dia ingin balik ke rumah kerana tertinggal sesuatu di rumah. 
Abahnya menghantar pulang ke rumah dan aku terus menunggu di sekolah.  Sekembalinya dua beranak itu, kami terus ke dewan sekolah.  (Dewan terbuka tak perlu kipas, angin sentiasa bertiup).  Menunggu hampir setengah jam, menanti Pengerusi PIBG. (Menunggu lama bukan kerana aku bosan tapi mengenangkan aku perlu kembali ke pejabat sebelum 11.30 pagi )
 
          Akhirnya, bila Guru Besar mengumumkan, aku masih boleh menahan debar. Namun apabila Guru Besar mula memanggil nama seorang demi seorang.bermula dari yang paling rendah, debaran ku makin kencang.  Seorang demi seorang di iringi ibu atau bapa naik ke pentas, (walau tidak cemerlang) memberi sokongan kepada anak masing-masing. Apabila nama sibongsu di panggil, mulanya aku tidak mahu naik ke pentas. Bukan aku malu tapi tidak mahu.  Namun hati ibu tidak sampai hati melihat anak yang mengharapkan keputusan yang cemerlang, tidak cukup satu A naik ke pentas dengan air mata.  (Syukur di atas pentas beliau tidak menanggis). Aku naik mengiringinya, dan sempat bersalam dan mengucapkan terima kasih atas bimbingan guru-guru selama ini.

          Turun dari pentas, sibongsu yang didepanku, tiba-tiba berpaling dan memelukku dengan juraian air mata. Tanpa sedar air mataku juga mengalir (memang mama kuat nanggispun). Setelah memujuknya, aku kembali ke tempat dudukku sebelah abahnya.  Selesai upacara, aku lihat dia masih menanggis (rupa-rupanya dia terus menanggis bila tengok kawan-kawan rapatnya dipakaikan jubah oleh cikgu). Guru kelasnya sempat memujuk dan memeluknya. Kemudian cepat je dia mengajak ku balik ke rumah. Sedih sangat katanya. Akhirnya aku sampai semula ke pejabat jam 12 tengahari. (Alhamdullah mujur tak di soal siasat mengapa lambat).

           Bagiku dan suami, kami bangga walau dia tak dapat 5A kerana 4 orang abang-abangnya tidak pernah mendapat lebih dari 2A   Namun aku bersyukur ke hadrat Allah kerana memberiku anak-anak yang walau tak cemerlang tapi masih membahagiakan aku ibu mereka. Doaku, agar mereka terus berjaya dalam hidup dan menjadi anak-anak yang solleh dan sollehah.  Mudah-mudahan mereka diberi Allah rezeki yang halal dan diberi kesenangan hidup di dunia mahupun di akhirat..

Saturday 29 October 2011

KERACUNAN MAKANAN

Sabtu 22 Oktober, Ada dua undangan perkahwinan yang perlu di hadiri.  Aku tidak boleh mengelak dari tidak pergi kedua-dua Majlis itu. 

              Satu undangan perkahwinan seorang "Office Mate"  lebih muda dari anak pertama dan keduaku.  Boleh di panggil anak. (Ramai sebenarnya rakan sepejabat yang muda) Kadangkala malu bila di panggil Kakak. Namun alah biasa tegal biasa, sekarang dah tak kisah.  (Jika boleh sebenarnya mahu mereka memanggil ku dengan pangkat mak atau makcik saja)  Sering mengusik dia di pejabat, seorang anak muda yang manis, peramah dan masih menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Seorang anak muda yang rajin berusaha dan rajin bekerja.

               Undangan yang satu lagi dari bekas rakan pejabat suami ku.  Perkahwinan anak sulong juga. Aku tak boleh mengelak kerana suami ku harus ikut aku ke jamuan sahabatku dan sebaliknya. Baru adil. Dua-dua diadakan di Dewan yang jarak antara satu tak berapa jauh dari rumah. Dua-dua majlis masakan yang sama kecuali nasi yang berbeza.  Majlis pertama ada, nasi manis dan kueh karipap serta buah limau. Aku jamah belaka.
        
           Selesai majlis, kami (aku, suami dan anak bongsu ku) ke bandar dengan hasrat untuk membeli barang.  Ramainya manusia, banyaknya kereta di jalanan. Leteh duduk dalam kereta, menyesal pun ada kerana mengarah ke bandar. Hendak berpatah balik dan mengikut jalan balik ke rumah dah tak boleh. Hampir jam 5 baru sampai balik ke rumah.

            Malam tersebut aku masak nasi berlaukkan sadin saja.  Keesokkannya, baki sadin ku panaskan sekejap saja, makan dengan roti.  Sejam selepas itu,  perutku mula memulas, kepalaku mula sakit, akhirnya habis semua makanan yang ku makan keluar atas, bawah.  Sakitnya....  Aku baring dan tidur sepanjang hari. Nak makanpun tak lalu.  Ingatkan sehari sahaja aku begitu rupanya esoknya pun sama.  Malam kedua baru rasa segar sikit.  Kasihan anak-anak makan lauk kedai dua hari tu. Seleraku sendiri mati dua hari itu. (Hajat hati nak masak sedap sikit)

               Selasa di tempat kerjapun masih sama. Leteh sungguh berulang alek ke bilek air. Rabu, cuti pesta cahaya , hari ini, ada tetamu bertandang, aku ke kedai membeli barang untuk di masak.  Sedang membeli barang, tiba-tiba, perutku bagai di cucuk-cucuk. Melangkah masuk ke Klinik di sebelah kedai, Doktor memaklumkan bahawa aku keracunan makanan. (4 hari yang sungguh menyakitkan). Namun, Alhamdulillah aku masih mampu memasak untuk tetamuku.  Masih boleh bangun menyediakan sarapan pagi sebelum aku ke tempat kerja.

               Bila di fikirkan semula, dari mana aku dapat keracunan makanan tersebut?  Suami dan anakku tidak keracunan. Hanya aku!!!.  Apakah sistem ketahanan tubuhku dah begitu teruk?  Apapun, aku tetap bersyukur, kerana aku tahu, semua itu adalah ujian dari Allah jua...

Friday 28 October 2011

YANG TERSIRAT

Lama tak menulis, bukan tak ada cerita tapi agak malas untuk menulis. Rasa nak rehat dulu sebelum mula menulis kembali.. Namun kali ini, aku ingin saja meluahkan apa yang tersirat di hati..

             Rabu 5 oktober, aku bercuti selama 3 hari dengan niat untuk menghantar suamiku operate mata. Sebelah kiri matanya telah tidak dapat melihat lagi.  Atas nasihat doktor, dan pandangan rakan-rakan yang telah menjalani pembedahan kecil itu, beliau nekad untuk mencuba.  Lantas, rabu itu, dengan 2 buah kereta kami sekeluarga ke Ibu Negara.

             Meninggalkan dia di Klinik tersebut jam 10.00 pagi dengan harapan sejam kemudian kami akan engambil beliau. Namun setelah sejam setengah, beliau masih belum berjumpa/dipanggil untuk di buat kad untuk berjumpa doktor.  Jam 12.00 setelah lama menunggu dalam hujan gerimis, kami ke Klinik tersebut untuk melihat keadaan. Sejam menunggu di Klinik, anak-anak keluar membawa haluan masing-masing. Tinggal aku, menemani suami. Jam 1.30 barulah suami di panggil dan di bawa dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Akhirnya, di panggil berjumpa doktor. Setelah di beri penerangan dan di tetapkan masa untuk operate, barulah kami  keluar dari Klinik tersebut dalam hujan gerimis.  (Macam menunggu kat Hospital Besar je)

                Berkumpul kembali dan meneruskan hajat mengisi  perut dan seterusnya mencari tempat untuk bermalam.  (Aku tak tidurpun di Hotel tersebut - meninggalkan suami dan dua anak)  Aku bersama 2 lagi anak ke Bangi rumah anak sulong ku. Bermalam di situ dengan niat untuk ke Putrajaya menjenguk mak yang beraleh sakit.  Keletihan, esoknya baru aku ke Putrajaya.

                     Lama tak menjenguk mak dan adik sekeluarga, sedih melihat mak yang elegik seluruh badan, tangan yang mengelupas dan berdarah (Kulitnya menjadi nipis dan cepat berdarah). Mak hanya boleh makan nasi dan sayur sahaja. Kasihan sungguh melihat dia begitu tapi ku bendung air mata dari tumpah agar dia tidak sedih.  Hasrat hati, ingin tinggal lebih lama. Memberitahu Pejabat sambung cuti sehari lagi.

                      Namun kita hanya boleh merancang.  Di takdirkan Allah selepas suami dan anak-anakku balik ke Kuantan, malam tersebut sakit lelah ku tiba-tiba menyerang.  Malam tersebut hingga keesokkannya, aku tak betah duduk. Dada , badan dan kepala ku sakit. Susahnya untuk aku bernafas dengan betul. Mak mula susah hati dan memberitahu adikku, supaya menyuruh anakku mengambil aku balik ke rumah.  Anak sulongku sampai petang tersebut juga menghantar aku balik ke Kuantan. Sedih meninggalkan mak dan tidak dapat lama menjaga mak.  

                      Sampai di rumah jam 12 tengah malam, terlena keletihan sehingga di kejutkan oleh Long memberitahu ku, dia ingin balik ke Bangi. Aku sambung tidur dan kemudiannya ke Klinik.  (Mata suamiku semakin pulih).  Aku, mengambil masa seminggu juga untuk pulih..... (Pulih ke ?) .

Monday 19 September 2011

RUMAH SUKAN

Petang tadi, aku pergi mesyuarat di BSN (tiada kena mengenai dengan bank tu). Mesyuarat Rumah Datuk Bahaman.  Tergelak aku bila mula-mula membaca senarai nama rumah dan senarai nama yang terpileh menganggotai rumah-rumah tersebut.  Rumah Sukan.....

                   Telah lebih 30 tahun aku meninggalkan sekolah dan telah hampir 30 tahun aku kerja, nilah pertama kali aku jumpa semula rumah sukan. Dulu masa sekolah, masa sekolah rendah rasanya ada nama "CARVEN" - rumah hijau.  Bila masuk asrama di Batu 8, Gambang, nama-nama seperti 'SOYUZ, SKYLAB, COSMOS, dan satu lagi nama aku dah lupa.   Aku masa tu rumah hijau juga.  Di jalan Tras, nama-nama seperti Goldthrope, (Betul ke ejaannya) yang lainpun aku tak ingat dah. Rumah sukan, oren. Di sini, 5 buah rumah kerana ramai. Melangkah ke Bentong, aku dah tak ingat sebab aku tak aktifpun. Hari sukan aku tak tahu aku ke mana tika itu. Cuma aku ingat, aku pernah di suruh berlari keliling padang , tu je. (Banyaknya yang aku tak ingat dah ni). 
                     
                      Biasanya hanya sekolah je yang ada Rumah Sukan ni. Selepas Raya tahun ni, tiba-tiba kami diberi rumah sukan, DATUK BAHAMAN, TOK GAJAH, PANGLIMA PERANG, MAT KILAU, nama Pahlawan-Pahlawan Negeri Pahang.  Kebiasaannya, kami hanya bersaing mengikut unit atau bahagian sahaja. Satu kelainan yang di usul oleh AJK atau oleh pihak pengurusan yang baru, aku tak pasti...

                        Dari sejak dahulu, aku bukannya kaki sukan. Namun bukan bermakna aku tidak pernah turut serta dan memenangi hadiah. Darjah satu, aku dapat piala, walau kecil, piala tu tersimpan sehingga baru-baru ni saja. (Di rosakan oleh anak-anak dan anak buah). Pernah bermain volley ball, net ball walau tak sepandai mana tapi dapatlah membantu meramaikan orang. Sekarang sekali lagi aku kena bermain, kali ni nampaknya kena main, carum, congkak, dart, dam sajalah.  Apa nak main ye. Carum dan Dam boleh duduk kat meja., okaylah tu. Main congkak kena duduk bersila atau bersimpuh, tak bolehlah kerana aku dah tak boleh duduk lama-lama ni. Dart, main baling-baling je. Kena berdiri.  Mana satu ye, ikutlah jangan kena berlari, melompat sudah. (Dulu aku pernah dapat hadiah kerana main carum) Tu dulu...  Nak main bowling,  tak pernah aku sentuh bola tu, tengok dalam TV pernahlah. Badminton, Net ball tidaklah, diusia dan seberat ini, no, no no. Silap haribulan aku MC sebulan. (Buat kerja rumahpun aku boleh MC ni pulak nak melompat).

                Eek, ada pulak yang suggest aku jadi pengadil congkak. Main congkak dengan buah getah bolehlah aku jadi pengadil.  (Tu zaman dulu-dululah main dengan adik-adik dan sepupu-sepupu (selepas tu kelahi, hahaha, masing-masing main mengelat). Harap kali ni tak adalah yang main mengelat..  

                   Hebat juga, nama rumah sukan ku kali ni,"' DATUK BAHAMAN" (macam nama sebuah sekolah bawah jagaanku je. Apa-apapun, DATUK BAHAMAN adalah Pahlawan negeri Pahang... Warna yang di pileh " HIJAU."  Aku menurut je, walau aku tak minat warna tu. (Jodoh memang dengan warna hijau kot dari dulu asyek dapat rumah Hijau) Apapun, aku akan cuba memberi sokongan dan sumbangan setakat yang termampu.........  


Wednesday 31 August 2011

Aidilfitri Datang Lagi...

Mendengar mercun berbunyi (walau tidak dibenarkan bermain) mengingatkan aku kepada Aidilfitri yang telah banyak berlalu.  Untuk sekian kalinya, terasa rindu kepada zaman kanak2 dahulu.  Belajar bermain mercun dan bunga api dengan orang yang lebih dewasa namun sehingga sekarang sebenarnya aku tidak berapa suka bermain bunga api dan mercun. Mercun menakutkan aku kerana bunyinya kuat dan bising - boleh memecahkan gegendang telinga dibuatnya.
            Dulu, waktu kecil, aku tak tahu apa itu raya. Teringat kembali satu pagi mak suruh aku dua beradik bangun pagi-pagi mandi dan diberi baju baru.  (Masa tu, kalau berbaju baru maknanya boleh jalan-jalan pergi bandar) Suka sangatlah dapat pakai baju baru. Teringat satu ketika, rumah wan ku di penuhi dengan sepupu-sepupu ku.   Teringat akan kasut yang dibeli mak sama dengan kasut yang di beli oleh mak saudaraku untuk dua orang sepupu ku yang lain.  Kami berjalan raya tahun tu dengan kasut yang sama warna, sama fashion. Bila keluar dari rumah kena tengok saiz. Mujur senang aku cam kasut sendiri sebab kakiku lebih besar dari mereka. Teringat kembali, mengikut dua pupuku beraya keliling kampung. Di setiap rumah, tuan rumah akan bertanya aku dan adikku anak siapa. Biasanya setelah diberi penjelasan, panjanglah oooooooonya kerana mereka menyangkakan kami bukan adik beradik. Setelah tu mulalah kata, ini anak maknya, dan ini anak ayahnya.  Mula-mula benggang juga, lama-lama dah biasa. (Sehingga sekarangpun orang lebih mengenali adikku lagi dari diriku) Aku di kenali sebagai anak bapaku. (Rindulah pulak - al fatihah).
            Teringat pertama kali beraya di rantauan (bukan tak boleh balik tapi entahlah ye mengapa tahun tu aku tak mahu balik raya) memang boleh balik dan ramai yang balik tapi aku tak mau. Pagi raya di dewan makan makan nasi minyak, dan agar-agar merah yang keras (boleh baling ke dinding) Petangnya, ada seorang rakan yang tinggal berhampiran sekolah mengantar lemang dan rendang. Merasalah juga , kongsi ramai-ramai. Aku tak menangis kerana bagiku raya biasa je (Masih tak  berapa tahu makna raya ketika tu).Sesungguhnya, aku tak pernah rasa sedih bila beraya jauh dari ibu bapa dan keluarga. (Satu kelebihan bila beraya dengan keluarga suami di utara).
            Namun bila, mak sakit dan rumah mak tidak lagi jadi tempat berhimpun kami adik beradik, hari raya ku rasakan tidak lagi berseri dan semeriah dulu. Menitis air mataku di pagi raya tidak ku sedari. Rindu pada sausana dahulu. Rindu pada setiap satu syawal di mana, rumah mak di penuhi dengan jerit pekik, gelak ketawa seisi keluarga. Menjelang tengah hari biasanya rumah penuh dengan mak saudara, pak saudara dan sepupu-sepupuku serta anak-anak mereka. Penat melayan sehingga ke malam tapi puas hati dan gembira. Empat tahun sudah suasana ini tidak berlaku.  Harapan ku, aidilfitri tahun depan, aku dapat bersama semula dengan adik-adik ku....
             Tahun ini, aku bersyukur dengan dapat beraya dengan suami dan semua anak-anak serta cucuku. Tak meriah tapi aku tetap gembira.  Dapat bermaaf-maafan dan dapat juga bercakap dengan mak memohon ampun maaf atas segala kesilapan......tidak dapat berjumpa dan tidak dapat menziarahi dan menjaga dia. Air mataku mengalir lagi untuk sekian kalinya di pagi aidilfitri ini.............

Saturday 13 August 2011

Harapan Di Bulan Ramadhan

Hari ini, telah masuk hari ke 14 Ramadhan. Sesungguhnya , ku tunggu ramadhan tahun ini, dengan penuh debaran. Ku tunggu ramadhan dengan penuh harapan.  Alhamdulillah, Allah  memenuhi doa ku yang satu ini. Masih banyak doa ku yang belum di tunaikan  dan aku akan terus berdoa untuk itu.
        
              Terlalu banyak nikmatnya yang Allah telah beri pada ku sepanjang Ramadhan ini. Akan tetapi apakah cukup ibadahku untuk menyatakan syukur ke atas nikmat ini.?  Di terima Allahkah solat ku? Di terima Allah kah ibadahku?   Aku tahu, banyak lagi yang perlu ku lakukan. Apakah aku mampu melakukannya? 
    
             Harapanku terlalu tinggi ,  aku mau, anak-anakku berjaya dalam hidup mereka. Aku mahu, anak-anakku jadi anak-anak yang solleh dan sollehah.  Aku mahu, anak-anakku diberi Allah kesihatan yang baik.  Aku mahu, anak-anak ku menjadi penghuni Syurga.  Aku mahu, anak-anakku  menjadi anak-anak yang menghargai orang-orang yang lebih tua dari mereka. Aku mahu,  anak-anakku jadi anak-anak yang beriman dan tidak meninggalkan solat mereka. Aku juga mahu, anak-anakku menjadi orang yang berguna kepada Agama, Bangsa dan Negara. Aku  mahu anak-anakku menjadi anak-anak yang kaya raya bukan sahaja harta tapi kaya budi bahasa juga. Aku mahu anak-anakku bahagia, bukan di sahaja di dunia tetapi di akhirat kelak. Aku juga mahu, agar mereka tidak melupakan aku dan bapa mereka setelah kami tiada kelak. Tidak ada apa yang ku mahu untuk ku, selain mereka mengingatiku setelah aku tiada nanti.
           
                  Ya Allah, jika ini Ramadhanku yang terakhir, ampunkanlah dosa-dosa ku, dosa kedua ibubapa ku, dosa suamiku, dosa anak-anakku, dosa menantu serta zuriatku. .  Tempatkan kami di Syurgamu Ya Allah. Ya Allah jadikanlah aku orang yang bersyukur di atas segala nikmatmu.  Bagilah aku kesihatan yang baik Ya Allah, dan sesungguhnya aku tidak berani untuk berjanji apa-apa kepada mu kerana engkau maha mengetahui Ya Allah. Apapun aku mohon keredhaan mu, aku mohon keberkatan mu, aku mohon kebaikan dari mu. Jadikanlah aku, orang yang mematuhi perintahmu......Paling ku pohon padamu, agar diriku, suami dan anak-anak serta zuriatku dapat menjaga solat kami dan tidak tergolong dalam orang-orang yang lalai. Amin.

                     Terlalu banyak yang ku pohon, namun aku hanya insan biasa yang akan sentiasa memohon darimu  Ya Allah.  Perkenankanlah doa dan pengharapanku ini.




Wednesday 27 July 2011

KURSUS

           "  Puan, tahun ini, kursus yang puan hadiri masih tidak cukup 7 hari "  Aku sedia maklum tentang hal ini.  Perasaan ku berbelah bagi antara nak pergi atau tidak. Namun aku kena pasrah untuk memenuhi 'kuota' tersebut. Aku wajib cari kursus untuk pergi.

            Bukan aku tak mahu memohon. Awal tahun lagi aku dah bersedia untuk pergi. Telah memilehpun bulan dan tarikh yang sesuai. Tulah orang kata, kalau nak ikut kawanpun kena juga fikir diri sendiri. Kawan yang seorang ini selalu ingin berteman untuk ke sesuatu tempat. Aku sebenarnya malas nak berkira sangat hal ini. Bila dia kata tak mau mengisi borang permohonan melalui internet, aku akur., mengikut sahaja. "Kita cari kursus dekat-dekat jelah, yang pejabat anjur" Tanpa banyak fikir aku turutkan sahaja. Terfikir juga untuk mengisi borang itu sendiri tanpa dia, tapi tak sampai hati. Hai itulah, kalau ikutkan hati mati, ikut  rasa, diri sendiri yang binasa.

           Hari ini, bila di maklumkan seorang demi seorang, hanya aku sorang saja yang masih memerlukan 5 hari lagi. Member yang seorang ini dalam diam tinggal 2 hari lagi untuk mencukupkan hari kursusnya.  Terasa juga nak marah, tapi tak guna sebab salah ku juga kerana terlalu percaya.  Apapun, tahun ini, seingatku, hanya sekali, aku tak hadir kursus kerana demam.  Esok ada kursus, seorang rakan yang lain sepatutnya pergi tapi dia demam. Aku dicadangkan pergi tapi teman kepada rakan ini telah terlebih dahulu mempelawa orang lain pergi bersamanya. Tak sedap hati juga pergi mengambil tempat orang nanti lain pulak ceritanya. Tak palah aku, aku pergi kursus yang lain pula. Adalah rezeki ku nanti.  (Menyedapkan hati)  

            Balik ke rumah tadi, aku cuba buka laman web untuk cari kursus yang berbaki. Nekad untuk pergi sendiri dan seorang dan minta bantuan keluarga untuk hantar ke tempat yang di tuju. Malang laman web tak boleh di buka. Ada masalah rasanya. Tadi kat pejabat pun dah cuba tak boleh juga. Ada masa 3 bulan lagi untuk aku pergi kursus. Insya Allah akan cukup juga jumlah kursus yang wajib ku hadiri nanti.

             Tahun depan, awal tahun aku nekad pergi awal. Isi borang sorang-sorang, sebab serik rasanya dah 2 tahun kena macam ni.  Apapun, aku masih ingin menjaga hati-hati orang di keliling ku, walau hatiku sendiri sakit.  Ini, antara sebab mengapa aku kadang kala ingin bersara awal.

             " SABARLAH HATI, SABARLAH, TENANGLAH FIKIRAN, TENANGLAH "


Friday 22 July 2011

Drama Korea

Seorang kawan di pejabat satu hari bertanya,  " Korang ni, tengok cerita melayu,  cerita orang puteh, tengok cerita China,  Cerita Hindustan Dan sekarang ni tengok cerita Korea tau ke benda yang diaorang cakap tu? "  Selamba seorang kawan lagi menjawab "  Aku, kalau tengok cerita melayu aku tau cakap orang puteh, cerita orang puteh aku tahu bahasa melayu, tengok cerita, cina, korea dan hindustanpun aku tau bahasa Melayu jugak, sebab aku baca sarikata."  Tergelak besar kami mendengarnya. Tulah kalau tak tahu dan tak faham bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris.  Bertahun-tahun menonton drama / filem Cina, Hindustan di TV. ramai yang memahami kerana selain dari sarikata, fahamlah juga sikit-sikit apa yang dicakap dek pelakon tu.  Ini bab drama / filem Korea, apa yang aku tau hanya  sepatah perkataan je  "CHAYOK". Mungkin aku sengaja tak mahu belajar.
          Drama Korea ni berhantu gamaknya.  Aku kata gitu bukannya apa, bila dah tengok tak boleh berhenti, tiap-tiap hari nak tengok hingga habis cerita.  Teringat Drama  'WINTER SONATA" yang pernah disiarkan di TV beberapa tahun lalu (tak ingat tahun bila). Ceritanya sungguh sedih, kisah percintaan yang sungguh menyentuh perasaan.  Ketika itu, seluruh pelusuk negara demam cerita ini..  Aku juga tak terkecuali tapi ada juga aku miss tengok.  Kemudian bila cerita-cerita yang disiarkan kurang menarik hati, aku jarang-jarang menonton.

          Bila melanggan "ASTRO", dan tertengok rancangan "KBS WORLD" aku mula mengadap TV semula menonton lepas satu-satu filem dan drama bersiri setiap malam dari jam 9.00 hingga 10.15. Pernah aku menonton drama satu drama ini,  dari jam 10.00 hingga ke pukul 2.30 pagi.  Ceritanya taklah sesedap manapun, biasa je. cuma pelakonnya yang handsome dan cantik lawa tu yang memikat. Selain tu, adalah juga cerita-cerita ini yang menyentuh perasaan dan ada juga  yang memberi pengajaran.  Dalam pada tu juga, cerita Korea ini walaupun agak ke Inggeris sikit kalau bab cintan, tapi aku suka sebab pakaian mereka walau seksi tapi tak terlalu menjolok mata .  Korang faham tak apa aku cerita ni.   Ginilah bahasa mudahnya, bila bab bercinta mesti ada bab 'cium'. Kalau mereka berpakaian, yang dah berumur tu, macam orang-orang Malaysia juga, sopan gitu.  Mana yang muda, walau pakai short atau skirt pendek tak nampak sangat seksinya. Kebanyakannya tak seksilah kecuali watak tu memang nakkan pelakonnya seksi.

         Akibat dari menonton drama-drama ni, aku sering berebut TV dengan anak lelaki ku yang ada kat rumah ni. Bukan kerana apapun, bila siaran Bola Sepak atau pertandingan sukan lain bertembung dengan masa aku nak tengok cerita-cerita itu, masa tulah kami berebut. kalau tidakpun memang dia bagi aku tengok sebab dia ada waktu dia sendiri.  Apapun aku tak ralat sangat kalau tak dapat tengok waktu bertembung tu kerana drama-drama itu akan diulang tayang pada hari sabtu dan ahad pulak.  Sambil buat kerja rumah, lipat kain, relax-relax tu, bolehlah aku tengok semula mana yang tertinggal. Kalau pergi out station tak dapat tengok tu, ralat juga terutama bila tak dapat tengok ending.  Pernah juga, tengok drama ni, mula-mula dua tiga episod, lepas tu, ending baru tengok.  Aku memileh juga, bukan semuanya aku tengok.. .. sebab ada yang tidak menepati cita rasa. Biasalah kan ,  manusia....Akupun hanya manusia biasa yang punya cita rasa tersendiri. Biarlah apa orang nak kata, aku ni macam .....Tak kisahlah janji bahagia...

Friday 15 July 2011

Penunggu Rumah.

             Tak ingat pulak bila last pergi piknik, rasa macam dah lama sangat tak keluar jalan-jalan.  Memang dah lama sungguh aku tak keluar pada sabtu dan ahad. Asyek memerap dalam rumah saja. Teringin sebenar nya nak keluar jalan-jalan, pergi TC, BH , Sepat atau ke pusat beli belah. Mungkin orang tak percaya kalau aku kata, dah lama aku tak ke shopping kompleks, Megamall, EC Mall, KT, KP, bila kali akhir aku pergipun aku dah tak ingat. Dah lama juga aku tak ke KL, Melaka, PD, balik kampung. Tahun ni, lebih kerap ke utara atas urusan keluarga. Itupun kerana terpaksa, kalau tidak, jadilah aku penunggu rumah sepanjang tahun.

              Sejak suami ku kerja jauh, dan hanya balik hujung minggu kira2 6 tahun dulu, masa aku banyak di habiskan di rumah. Jaga  anak-anak, buat kerja rumah, sesekali menjahit.( Sejak akhir-akhir ni saja dah pandai berFB.) Sunyi sebenarnya. Bila dia balik banyak masa di rumah saja. Anak-anak dah besar dan aku tak ada apa-apa lagi nak cari di pusat beli belah. Mentelah pulak keadaan kewangan yang tidak begitu mengizinkan. Perbelanjaan untuk anak-anak lebih penting dari diri sendiri. Bila suamiku kena strok, 3 tahun dahulu, dia pindah balik ke rumah dan berulang hari-hari ke tempat kerja. Kadangkala, dia lebih banyak mc atau cuti. Dek kerana ini jugalah, masa ku lebih banyak di rumah. Dia juga lebih banyak rehat di rumah.

             Dulu, saban minggu kami akan keluar jalan-jalan, bawa anak-anak. Bila meningkat usia mereka, mereka tidak lagi mau bersama ketika berjalan-jalan kecuali jika keluar daerah atau pergi makan malam bersama. Kasihan pada si kecil kerana dia tidak mengalami apa yang di lalui oleh abang-abangnya. Diapun lebih banyak di rumah. Kawan-kawannya, hanyalah di sekolah. Di rumah dia lebih banyak duduk depan TV dan PC. Itulah dunianya. Sesekali bila ke kedai atau pasar membeli barang dapur (itupun dilakukan oleh suamiku) dia akan turut serta.  Aku tak ke mana-mana melainkan melakukan kerja rumah.

              Bukan aku tak mau ikut serta ke pasar atau ke kedai, tapi aku lebih suka melakukan kerja rumah dan menunggu suamiku membawa barang dapur untuk di simpan atau di masak. Sejak usia telah meningkat dan kesihatan tidak mengizinkan, aku lebih suka begini. Sekurang-kurangnya aku tak keletihan, berjalan dan balik melakukan kerja rumah.  Namun bahagiakah aku begini?   Secara lahirnya memang aku gembira begitu tapi zahirnya, aku rindu untuk berjalan-jalan seperti dahulu. Berkelah, bergembira dan berkumpul bersama.

            Aku harap satu hari nanti, aku tidak lagi, masuk rumah petang jumaat dan keluar rumah isnin pagi.
Apa adakah orang lain yang macam aku, berkurung dalam rumah.? Sekarang aku masih kerja, kalau lah aku dah bersara, begini cara hidupku, alamat aku tak jumpa orang dan tak kenal oranglah.  Harap masa dan keadaan berubah.

Saturday 2 July 2011

CUCUR UDANG

Cucur udang yang sedap mana nak dapat sekarang?   Cucur udang sejenis makanan yang biasanya di makan untuk sarapan, minum pagi atau minum petang. Diperbuat dari tepung gandum , di dalamnya di bubuh taugeh, garam, sedikit serbuk kunyit dan daun kucai. (Ada juga yang mengaul udang bersama adunan tepung)  Di atasnya di letak seekor udang semasa mengoreng. Dulu, aku tahu sebuah gerai di luar pagar Sek Men. Sulaiman Bentong.  Memang sedap cucur udang makcik tu, terutama  sosnya.

            Memang favorite akulah cucur udang ni.  Dari kecil, aku memang suka makan yang pedas, masam dan manis tambah pula ada rasa bawang puteh sikit. Kalau banyak sangat bawang puteh, pedor pulak rasanya. Gitu juga kalau banyak cuka, masam sangat, kalau lebih gula, manislah pulak.  Susah sebenarnya nak membuat sos pencecah cucur udang yang sedap ni.   Ada orang suka makan dengan sos / kuah kacang.

            Teringat dulu, masa aku darjah satu dan dua masa duduk dekat si rusa, ada pasar malam, berebut orang nakkan cucur udang pakcik tu.  Bapak selalu beli. Aku apa lagi makan jelah. Bila balik duduk kat kampung, aku tak lagi makan cucur udang, aku lebih banyak makan jemput-jemput bilis. Dah tentu sosnya aku buat sendiri. Tulah,  kadangkala sedap kadangkala termasam atau termanis.

            Bila bersekolah di Bentong, berjumpa dengan cucur udang yang di jual kat seberang jalan, di luar pintu pagar sekolah. Kadang kala sampai 5 aku beli, makan sorang dan tak makan benda lain dah.  Cerita pasal cucur udang makcik ni, aku teringat, bila pukul 12 tengahari je, kami akan collect (kutip) duit  20 sen  seorang, satu kelas termasuk untuk cik gu sekali (Bodek cikgu konon) kerana mana boleh membeli di luar sekolah , pada waktu sekolah dan cik gu tengah mengajar.  Bag sekolah aku jadi mangsa kerana selain besar, teballah pulak. Orang/cik gu tak tahu kami membeli kecuali, makcik gerai tu dan  tukang beli. Mak cik tu, bila tengok member ni dengan bag besar tu dah tau dah sah nak beli banyak.  Member kelas ni, selamba keluar membeli. Kadang kala, kami suruh budak-budak kelas petang tu beli, berupahlah satu dua keping. Makan sekepingpun dah cukup masa tu. Tapi aku selalu beli lebih dari satu.  Kadang-kadang belanja orang juga. Tergelak teringat kenakalan masa tu. Cik gu pun boleh gelak dan makan sama kami.

            Bila aku bekerja dan menetap di Kuantan ni, memang banyak orang jual cucur udang tapi tak serupa dan sesedap cucur udang di P.D yang pernah ku makan lebih 40 tahun lalu dan cucur udang mak cik yang menjual di luar pagar Sekolah di Bentong dulu.  Alahai.....kenangan.

      

Friday 1 July 2011

Sahabat Baru Sahabat Lama

           Saban hari aku ditemukan dengan kenalan baru. Tempat ku bekerja sekarang sering menemukan aku dengan kenalan baru, sama ada melalui telefon atau melalui surat atau nota kecil mereka.  Sebenarnya ramai yang tidak pernah ku lihat rupa paras mereka. Ada yang ku kenal hanya suara mereka.

            Sahabat baru silih berganti, namun sahabat lama masih kekal di hati.  Tanpa mereka perjalanan hidupku tidak semeriah sekarang. Sahabat sama sekolah, sahabat sama mengaji, sahabat sama naik bas, sahabat sama-sama belajar menjahit,belajar menaip, belajar memasak. Sahabat sekampung yang kebanyakannya adalah saudara-mara ku sendiri.  Sahabat semasa mula bekerja dan sahabat yang masih kekal sepejabat. Sahabat yang telah meninggalkan pejabat dan sahabat yang telah bersara.  Sahabat yang ku temui ketika menginap di Hospital.  Tidak lupa juga pada sahabat serumah masa menyewa sebelum berumah tangga.  Jua pada sahabat yang pernah menjadi jiran tertangga.  Sesungguhnya, sahabat ku juga terdiri dari  sepupu-sepupu ku juga.

           Sesungguhnya sahabat lama adalah kenangan sepanjang hayat. Sahabat baru adalah permulaan untuk satu episod hidup yang entah bagaimana warnanya di masa hadapan.  Namun demikian, sahabat yang masih bersama adalah sahabat yang sama-sama berjuang mengharungi hidup semasa dan masa depan yang penuh bermakna serta penuh  cabaran..  

           Insya Allah, tidak akan ku lupakan segala yang pernah kita alami bersama wahai sahabat ku yang lama atau yang baru. Kalian akan kekal di sudut hatiku di tempat yang paling istimewa kerana tanpa kalian sapalah aku.

Tuesday 28 June 2011

Pejamlah Mata

            Terasa mengantuk, tapi mengapa tak boleh melelapkan mata ? Jika terlelap pun sekejap sangat. Sejam dua jam kemudian terbangun semula. Kadang kala letih di buatnya asyek terjaga tengah malam. Bukan sekali tapi banyak kali, tak terkira. Letih sungguh.

             Adakah ini perkara biasa buat seorang wanita yang sedang menghadapi saat-saat dewasanya  ? Saat yang paling di takuti oleh wanita ? Secara positif, aku tak mahu memikirkan. Tanda-tanda telah ada dan secara jujur, aku telah bersedia untuk itu.  Gangguan tidor, gangguan emosi, gangguan perasaan, gangguan kesihatan. Bahang kepanasan, kelesuan, kemurungan, stress......telah mula menampakkan dirinya.

             Malam sering terganggu tidur. Kesihatan sudah mula tergugat. Sakit di sana sini. Darah telah mula naik, gula dalam darah telah mula meningkat. Semua gara-gara stress dan juga kerana simpton monopause ini. Sejak tiga tahun dahulu, akibat terlalu memikirkan masalah yang bertimpa-timpa dan hubungan yang tiba-tiba menjadi renggang, aku cara tiba-tiba mendapat penyakit ini.  Aku telah menjalani  "medical chekup" secara menyeluruh. [ Sebelum itu juga aku baru menghadapi masalah dengan haid ku. Mengunjungi hospital setiap bulan untuk checkup. (Kemudiannya, aku berhenti sendiri ke hospital - haid ku kembali normal (sesekali ia buat perangai juga)]  Semuanya, ok je. Namun setelah kejadian demi kejadian berlaku, semuanya berubah. Tekanan darah naik tiba-tiba, gula dalam darah tiba-tiba begitu tinggi. Tidak pernah sebelum itu. Namun, aku pasrah kerana mungkin telah tiba masanya aku harus menghadapi semuanya.

            Kini, aku telah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Telah sampai masanya aku menumpukan perhatian pada diriku sendiri. Kalau boleh aku tidak mahu terlalu memikirkan akan perkara-perkara yang telah berlaku. Kalau boleh aku tak mahu lagi stress, bimbang nanti penyakit yang satu lagi tu datang pulak.  Namun jika ia datang juga (tidak ku pinta dan doakan kedatangannya) aku pasrah. Mungkin itu tandanya usiaku telah terlalu hampir ke penghujungnya.....

            Ada hikmah di sebalik semua ini? Aku tidak lagi kuat membebel. Aku lebih banyak mendiamkan diri. Jika dahulu, aku  marah jika rumah bersepah, jika siling dipenuhi sawang, jika pinggan mangkuk penuh sinki, jika baju tidak di letak di tempat sepatutnya, sekarang tidak lagi. Aku biarkan saja. Aku lihat sahaja. Jika aku berasa sihat baru aku lakukan secara perlahan-lahan. Langkah ku telah semakin lemah. Aku malas untuk mengharap pertolongan orang lain lagi. Selagi aku mampu aku lakukan sendiri. Untuk mengupah orang, aku tak mampu walau teringin untuk berbuat demikian. Biarlah, akan ku lakukan dan bersihkan apa yang termampu aku lalukan mengikut rentak ku yang terkini...

             ALLAH berilah kekuatan kepada hamba mu ini untuk menghadapi dugaan ini. Namun aku pasrah atas segala ketentuan mu...

Sakit Kepala/Pening Kepala/ Cuti Sakit

Sakit kepala dan pening kepala, dua perkara berbeza.  Satu sakit yang satu lagi tu pening. Ejaan dan sebutannya pun dah lain.  Satu berdenyut satu memusing. Aku cuma sering di serang sakit kepala dan tidak pening. Bimbang juga kalau pening dan aku rebah, tak siapa yang boleh membantu. Maklum sejak dah bertambah kilo ni...

            Dah terbiasa dengan sakit kepala ni, dah hampir 2 bulan tak kena. Rasa badan tu sihat je. Diet makan juga, (pilih makanan yang tertentu sahaja) . Pagi bangun tiba-tiba rasa sakit sangat kepala, teringat hari ini (27) ada kursus kat pejabat. Teringat juga hari ini kena pergi ke bank setelah melihat baki duit di bank tiba-tiba merosot.  Hati tu taklah berdebar mana, kot-kotlah tersilap. Maklumkan komputer ini, manusia yang programkan, kotlah tersilap mana-mana. Gagahkan diri dan tetapkan hati , hari ini kena pergi ke bank. Kursus tu boleh suruh orang lain ganti. Esok aku boleh masuk ganti tempatnya pula. (Kursus yang sama  dan untuk dua kumpulan. Aku kena masuk kumpulan pertama)

            Semuanya berjalan lancar, pergi ke bank, kursus diganti oleh orang lain. Aku masuk kursus esok. Urusan di bank nyata memberi tamparan kepada ku. Rupa-rupanya tanpa di sangka, itu kerja orang dalam rumah sendiri. Di hadapan kawan-kawan, aku masih boleh senyum ketawa dan berseloroh. Berbagai nasihat mereka berikan. Terima kasih sahabat-sahabat ku.  Namun demikian, dalam kepalaku, berbagai perkara yang ku fikirkan. Hatiku bengkak, sebengkak mataku yang menangis sendirian mengenang mengapa bertimpa- timpa dugaan yang harus ku hadapi.

            Di rumah, aku tak banyak cakap, cuba bercerita pada suami dan berbincang secara baik untuk mencari jalan terbaik. Kepala ku, semakin kuat sakitnya, mataku pula tak mau dilelapkan. Binggung!!!. Suami ku yang memasak petang ni (Goreng ikan keli dan telur mata kerbau). Anak dara ku, ku suruh menanak nasi. Mengadap TV dan PC kepala ku makin sakit. Akhirnya, ku cuba tidur , aku berjaya tapi setiap satu jam setengah, aku akan bangun. Berapa kali ku rasa ingin tumbang, namun ku gagahi juga bangun untuk ke T.....

            5.30 pagii (28hb.) , sekali lagi, aku bangun dengan harapan untuk ke pejabat, untuk meneruskan kursus yang tertangguh semalam dan menyiapkan kerja yang masih banyak. Namun, aku hanya merancang kerana pagi ini, aku tidak boleh ke pejabat. Denyutan di kepala ku begitu kuat. Ku sambung tidur, bangun jam 8.30 pagi untuk ke klinik.

            Seperti biasa aku ke klinik sendiri, suamiku pagi ni ada temujanji di Hospital Pekan. Di klinik,setelah di periksa oleh doktor dan memaklumkan darah ku meningkat 165/100. Tiba-tiba,  tanpa sedar, aku mengalirkan air mata. Terima kasih doktor kerana memahami yang aku sedang menghadapi stress yang amat sangat. Ini kali kedua, aku menangis di depan Doktor. (Mujur doktor yang berlainan). Balik ke rumah setelah membeli nasi lemak untuk sarapan dan makan tengahari anak-anak, aku menghubungi pejabat memberitahu yang aku cuti sakit hari ini.(Banyaknya kerja pejabat yang ku tinggalkan. Bimbang kerana takut tak sempat disiapkan ikut tarikh - nanti ada pulak yang call tanya mengapa tak masukan gaji baru mereka). " Biarlah mereka tu" (pujuk hati sendiri).

             Niat hati, hari ini, lepas makan ubat dan sarapan aku nak tidur sepuas-puasnya. (kena makan ubat dulu baru sarapan dan selepas sarapan makan ubat lain pula (dah rutin harian) sejak 3 tahun dulu).
           
           Alahai mata, puas dah berbaring, baca buku (sakit tak boleh nak baca- biasanya kalau baca buku cepat tidurnya)  tak mau juga lelap. Mengadap PC dan TV juga akhirnya.  Masih cuba memejamkan mata, dapat tidur, sejam dua jadilah untuk rehatkan badan dan kepala yang masih terasa denyutannya ini. Kalau tidakpun malam ni dapatlah tidur puas-puas untuk bangun pagi esok tanpa kepala yang sakit.

Wednesday 22 June 2011

MANISNYA GULA, MADU, SENYUMAN DAN ..........

'KURANGKAN GULA DALAM MINUMAN " " BANYAKAN GULA DALAM SENYUMAN'

Slogan yang penuh dengan makna yang tersirat dan tersurat.  Minuman tanpa gula terutama kopi, akan terasa pahitnya, sepahit, kepayahan hidup menempuh segala kepayahan. Bagi mereka yang terbiasa dengan kopi tanpa gula, alah bisa tegal biasa. Begitu juga dengan penghidupan ini.

           Sejak dulu, aku kurang gemar makanan manis... Terkenang satu ketika dahulu, mak bila mengoreng keledek atau pisang , aku tak makan pisang atau keledek itu. Aku lebih suka makan tepungnya kerana masin. Aku lebih suka jemput bilis dari jemput pisang. Aku lebih suka karipaf, cucur badak dari kuih koci, lepat, keria (donut- aku makan sebelum disira gula). Kalau buat bubur, akan ku makan sikit saja kecuali bubur pisang. Sedap bila makan bubur pisang nangka yang ada rasa masam, manis, lemak masin, lebih-lebih lagi jika di simpan dalam peti sejuk. Sedappppnya....

            Teringat juga, ketika kecil, aruah wan sebelah ayahku, sering menanak nasi pulut atau rebus ubi kayu di waktu pagi. Dia makan dengan madu lebah atau  manisan tebu. Sedap juga, tapiii aku lebih suka jika nasi pulut dan ubi tu di makan dengan sambal ikan bilis dan telur dadar saja. Kalau dia buat nasi manis atau dodolpun aku akan makan sikit saja  jamah kata orang. 

            Namun madu yang satu ini, memang tidak boleh ku terima sama sekali.. Aku bukan menolaknya 100% tapi sebagai seorang wanita sapa yang sanggup jika di madu.  Betul tak ,   kawan-kawan........... Alhamdulillah , syukur kepada ALLAH SWT kerana memperkenankan doa agar tidak di madukan.

            Manisnya senyuman mu. Ramai yang kata begitu. Adakah mereka tahu apa yang tersirat di sebalik senyuman tu....  Aku paling tak suka bila berseliseh dengan orang, orang tu seperti dipaksa senyum pada ku.. Banyak kali, tak terbilang banyaknya kerana aku pulak yang kena buka mulut nampakkan gigi untuk menunjukkan yang aku ni memang senyum kat mereka.  Kadang kala tergelak seorang bila ingatkan hal ini. (Masih berlaku sehingga ke hari ini)  Alahai, teringat pulak pada kisah dulu...   Kerana manisnya aku, pernah aku ponteng sekolah selama dua minggu.  Semua tak tahu sebab apa aku ponteng selama itu. Pada mereka aku beritahu, balik kampung tak sihat dan mak bersalin.  Memang aku balik kerana tak sihat dan kebetulan mak  bersalin. Hakikatnya, aku balik kerana sakit hati dipersendakan dek kerana manisnya aku...  Ramai yang  tertanya-tanya. Macam-macam cerita ku dengar. Apa-apapun itu dah berlaku lebih 30 tahun dahulu.

            Sekarang, sejak tiga tahun dahulu,  kerana manisnya gula, madu dan senyuman ku itu, aku  dapat hadiah..................yang menyebabkan aku terpaksa bergantung kepada ubat untuk menyambung hidup dan terpaksa berpantang  makan benda manis kecuali kopi pahit serta air suam/kosong. Seiring dengan pahitnya kehidupan ku kini menempuh dugaan demi dugaan hidup............sehingga satu ketika. Namun aku tetap bersyukur kepada nya...

Tuesday 21 June 2011

KAIN, GUNTING, BENANG, JARUM SERTA MESIN JAHIT

KAIN : -

           Lama tak beli kain... Sale merata gedung membeli belah dan di kedai-kedai kain di seluruh negara, Kuala Lumpur,  Kuantan.  Teringin nak membeli, tapi mengenangkan poket yang sering kempis tak jadi nak ke sana. Ada enam pasang tak berjahit. (2 untuk anak daraku yang seorang ini). . Bila nak mula ni...

GUNTING : -

          Jenuh dah mencari, mana duduknya. Tulah akibatnya bila dah lama tak mengunting kain.  Gunting besar, senang nak gunting kain. agak mahal harganya. Manalah ia bersembunyi.  Kena bongkar semua perkakas jahit nampaknya, Kena buat operasi, mencari dalam timbunan kain perca (dalam kotak) kot-kot tersimpan kat situ masa mengunting dulu. Bila ya ?  Lama beno dah rasanya... Ni dah dekat nak puasa baru teringat akan gunting tu... Gunting lain ada,  tak best buat potong kain...

BENANG :-

          Benang, macam-macam warna ada, dah lama simpan setelah hanya separuh di gunakan. Tapi untuk kain yang terbaru ni, kena beli juga. Kena beli juga, butang, Bila sebut pasal benang ni, teringin pulak nak beli benang kait. Nak beli  yang macam mana ye. Aku kena pergi juga cari kat kedai ni. Kalau beli kat "Pasaraya MYDIN"  boleh beli banyak tapi buat apa banyak-banyak. Aku bukannya nak ambik upah jahitpun...Cuma rasa nak mengait semula nak hilangkan boring duduk depan TV dan FB.  Kena nekat kali ni, nak mula semula projek lama...

JARUM :-

         Kali ni, kena beli jarum mesin juga. Jarum kait dah ada, banyak lagi dan masih boleh pakai. Jarum tangan,  (betul ke ni?) banyak lagi. Petang tadi, nak jahit kaki seluar anak yang terbuka, cuba masukan benang dalam lubang jarum yang kecil tupun, setengah jam tak masuk-masuk. Akhirnya, tukar cari jarum lain.  Aku ni, lebih suka jarum yang halus dan kecil bila menjahit kerana, jahitan lebih kemas. Lebih lagi kalau mengelim kaki baju dan seluar atau ketika menjahit manik serta menjahit tulang belut. Ni, satu lagi, lama dah baju kurung ku tak berjahit tulang belut. Sebabnya.... nak tahu ye... Aku dah malas nak membongkok menjahitnya lantas aku tekan saja dengan jarum mesin. Habis cerita. Sapa nak tengok dalam tudung, lainlah kalau aku buka tudung. Dulu-dulu masa mata masih terang, aku suka buat kerja ni....

MESIN JAHIT : -

            Ni satu hal lagi,  janganlah kau meragam wahai mesin ku. Lama dah tak di gunakan biasanya adalah ragam  yang dibuatnya.  Kali ni, aku minta sungguh-sungguh janganlah buat hal.  Aku bukan tak mau hantar kat tailor tapi aku tak puas hati.  Bukan kerana jahit mereka tak cantik, jahitan aku cantik tidak...NAHI... BUKAN kerana tu....  Sebenarnya, mereka tak tahu kehendak aku. Mereka juga tak tahu yang aku ni tak berduit nak hantar kat mereka tu.... Member kat pejabat selalu cerita, upah jahit makin meningkat... Apa-apa hal pun, aku kena buka semula mesin jahit dan mesin jahit tepi ku ini....

            PERGILAH MALAS,  DATANGLAH RAJIN....... KALI NI, PROJEK LAMA YANG TERBENGKALAI MESTI KU BERESKAN............... INSYA ALLAH. MUDAH-MUDAHAN DIBERI KESIHATAN YANG BAIK UNTUK ITU.       
       

Monday 20 June 2011

RESEPI

"Nak masak apalah hari ini?" soalan lazim yang sering ku ungkapkan. Suami ku sering memarahi ku kerana kata-kata ini. Masakan tidak marah, buku resepi, majalah, nota-nota kecil yang di penuhi resepi sering di lihatnya merata-rata. Baik dalam dairi, kertas kajang, buku tiga lima, malah pada kotak colgatepun penuh dengan resepi. Ada yang bertulis tangan,(dengan pen, hijau, biru, merah )(dengan pensel malah dengan pensel warna anakpun aku kerjakan) Tu, tiru dalam majalah, surat kabar, belum lagi resepi dalam tv.. Dah tua-tua ni, buka je google, you tube, semua ada resepi. Masaknya asyik benda yang sama, tu sebab kena marah. Nak buat cam mana dah minat.kumpul resepi....Nak buang sayang.

            Dari kecil aku didedahkan resepi masakan. Seawal darjah lima, aku sering mengantikan ibuku pergi ke kelas memasak (W.I) ketika itu. Pergi, salin resepi, dengar dan lihat demontrasi, dapat sepotong dua kueh atau sedikit masakan, aku bawa balik tunjuk kat mak. Beri mak resepi tu dah tu minggu depan pergi lagi, tulah sehingga aku masuk sekolah menengah dan duduk di asrama. Bila habis sekolah sambung semula aktiviti ini hingga dapat kerja. Form 1 sampai form 3, belajar masak masa 'Home Science', juga kena kumpul resepi.
 
           Bila dah kerja, tambah banyaklah koleksinya, makcik ni bagi, kakak ni bagi yang lain. Pantang ada makanan pelik dan sedap sikit mulalah minta resepi.  Bila duduk tak ada kerja, taip resepi buat salinan lagi bagi kat kawan-kawan sepejabat. Buat dan masaknya tidak juga. Nak tergelak juga bila ingatkan betapa tebalnya buku resepi aku ni.  Bergaul dengan kakak dan rakan-rakan dari seluruh pelusok negara, banyak juga resepi yang ku dapat. Tapi suami ku tetap marah,  hehe mengapa ye?  Nak tahu?

           Aku bukan tak pernah buat kek, kueh, mee, nasi, dan macam-macam lagi ikut resepi resepi koleksi aku ni. Malangnya, kebanyakkannya tak menjadi. Aku yang silap tulis resepi atau tersalah ikut cara-cara dalam resepi itu ke tak tahulah.. Akhirnya, aku masak ikut apa yang anak-anak aku suka makan.  Oh ye,  tak semua resepi yang aku dapat dan buat tak menjadi.... ..

           Resepi, Mee Kari  dan seorang kakak sepejabat 29 tahun dulu dan resepi  Nasi Ayam dari seorang berpangkat CC lebih kurang 20 tahun dulu menjadi kegemaran keluarga dan tanpa perlu melihat resepi aku dah boleh buka kedai makan sendiri untuk 2 resepi nilah. Hahaha (Tergelak besar aku dibuatnya) Angan-angan je lebih. Perasanlah tuu..  sedap.....

          Sejak akhir-akhir ni, lagi hebat, koleksi resepi tetap tersimpan  kerana aku dah mula malas nak ke dapur.... Anak-anak dah mula komplen, mama malas masak..Ye ke mama malas masak ???

Saturday 18 June 2011

HARI BAPA

26 Julai ini, genap  14 tahun , bapak meninggalkan mak , aku dan adik-adik serta cucu-cucunya. Sepuloh hari sebelum itu, aku melapor diri di JANM Pahang memulakan jawatan baru.  Amat sedih rasanya, takala aku melapurkan diri di JPA dan seterusnya berkursus di Kemaman, bapak di masukkan ke wad. Seminggu di wad baru aku dapat tahu, kerana aku tidak berhubung dengan keluarga ketika itu.  Aktiviti yang sangat padat.menyebabkan aku tidak menghubungi sesiapa. (Tika itu, telefon bimbit belum ku miliki) . Ketika menghubungi adikku di Kuala Lumpur memberitahu kabar gembira kerana aku akan  di tempatkan di Kuantan juga, dia memberitahu keadaan bapak.

             Esoknya, kami sekeluarga bergegas ke Sungai Buloh kerana bapak telah keluar hospital dan di hantar berubat secara tradisional di sana.  Berkumpul di tol jalan kuching (kalau tak silap) kami berlima beradik terus bertemu bapak di sana. Lantaran aku baru melapur diri, aku tidak bercuti sebaliknya berjumpa dengan dia seketika dan malamnya balik semula ke Kuantan. Minggu berikutnya aku tak balik, adikku kata bapak tak banyak berubah. Ya, tika aku melawatnya di Sungai Buloh, bapak memang sangat teruk, tapi dia tak mahu menyusahkan anak-anak.

            Minggu ketiga, aku sekeluarga balik ke kampung kerana bapak di bawa balik ke rumah. (Aku tidak jadi melapur diri selepas kursus di tempat baru tapi di arah kembali ke tempat kerja lama sehingga 16hb.) Minggu aku lapur diri, aku balik hujung minggu itu (petang sabtu). Bapak amat tenat, berat hati meninggalkannya tapi dia tak benarkan kami tunggu.  Katanya, baliklah kerja, kalau jadi apa-apa, mak dan adik-adik akan beritahu.  Dengan air mata, aku mencium tangan dan pipinya. Sejuk.!!!. Aku dapat rasakan umur bapak tidak lama lagi. .Sepanjang jalan balik ke Kuantan aku menanggis kerana aku tahu, tidak lagi dapat bertemu dan bercakap dengan bapak.

            Seminggu berlalu lagi, ( setiap saat menanti deringan telefon)  Sabtu petang, setelah menikmati hidangan tengahari dan berehat melepaskan lelah (kerja dan balik memasak dan membasuh kain) suamiku telefon memberi tahu,( dia sentiasa menelefon jiran sebelah rumah bertanya keadaan bapak), bapak telah kembali ke rahmatullah selepas zohor hari itu. Berkemas dan mengumpulkan anak-anak, kami balik ke kampung petang itu juga. Beliau di kebumikan keesokkan harinya kerana menunggu adikku yang berada di Perak ketika itu. Al -fatihah.

           Ya ALLAH, limpahkan rahmatmu, tempatkan aruah ayahandaku di kalangan orang-orang yang beriman lagi solleh.. Berilah tempat di Surgamu ya Allah. Luaskan dan terangkanlah kuburnya ya Allah. Amin.

           Aku tidak merasa menjaganya, merawatnya, namun aku akan sentiasa mendoakan kesejahteraannya di sana....Insya Allah selagi hayat di kandung badan.

           Kini, HARI BAPA, ku tujukan kepada suami dan anak sulongku yang baru menjadi bapa. Jadilah bapa yang bertanggungjawab, beriman dan penuh kasih sayang....anakku.

Friday 17 June 2011

GRAND REUNION

          Apa tu?   Ooo, perjumpaan murid-murid tua, sekolah lama, tempat aku belajar dulu. Aku berada di sini semasa Tingkatan Enam Rendah dan Atas, lebih kurang 2 tahun. Sejak dari bulan Mac lagi, dah ada yang memaklumkan tentang hal ini.  Aku, tak berani nak berkata boleh atau tidak join mereka. Dalam hati teringin untuk pergi, berjumpa semua dengan kawan-kawan lama. Aku ambil keputusan tunggu dan lihat kerana sejak akhir-akhir ni, banyak sangat kejutan-kejutan dari suami dan anak-anak.
      
          Sehingga tarikh tutup, penyertaan, aku lihat hanya ada tujuh orang yang benar-benar aku kenal. Aku masih tidak mendaftar kerana perancangan nak ke Langkawi.   Dalam pada itu, aku sempat bertanya kepada dua tiga orang kawan lama, samada mereka hadir tidak kerana nama tiada di senarai kedatangan. Semua menyatakan mereka ada program lain.  Aku pulak, tiba-tiba, suami kata," hang tak payah ikutlah!" Sabar jelah. Nak buat camna orang dah tak bagi ikut... Janjinya dua minggu lagi nak ke utara lagi. Yalah tu...

          Sehari sebelum majlis, (terbaca di FB) seorang dari mereka memberitahu tak dapat balik kerana masih di Sarawak. Ingatkan jika dia ada, petang-petang sikit , selepas hantar anak ke rumah cikgunya, bolehlah pergi jumpa sekejap ( awal tahun dulu dia datang Kuantan, aku tak dapat jumpa. - marah sungguh dia kat aku, aku buat tak tahu je ) Maaf ye kawan masa tu ada tetamu datang. Siang-siang bolehlah aku pergi ke manapun, kalau malam, maaflah, mata tak berapa nampak. Kalau terpaksa tu mungkin boleh kot.

          Sebenarnya, aku begitu seronok mengikuti perkembangan AJK yang menguruskan majlis ni. Semuanya amat berdidikasi. Mereka begitu bersungguh-sungguh menjayakan majlis. Syabas buat mereka semua. Aku cuma mengenali dua orang saja dikalangan mereka ini.  Cikgu-cikgu yang mereka jemput ada yang ku kenali dan ada yang tidak.

          Aku harap majlis berjaya dan meriah serta semua yang hadir bergembira. Nostalgia lama kembali mekar di lubuk hati masing-masing. Masing-masing ada, nostalgianya yang tersendiri (kehidupan di asrama)  Sungguh indah dan penuh nostalgia. Pada yang bersengketa satu masa dulu, inilah masa untuk bermaafan. Pada yang pernah ***jatuh .................dahulu, jadikan itu hanya sebagai satu coretan perjalanan dalam menghadapi kehidupan. Sesungguhnya, kita merancang tetapi ALLAH yang menentukan...


          17hb. mereka mendaftar  dan bermulalah Majlis tersebut selama 3 hari 2 malam.   Selamat Semua.... AKU   beginilah, tetap tidak pergi..... hanya menghantar mesage pada seorang sahabat bertanya kabar (No. tel. diperolehi dalam senarai kehadiran)  Maaf juga untuk sahabat yang seorang ini kerana rupa-rupanya dia telah lupa siapa aku............. Ialah dah hampir 30 tahun pun...

*** Jatuh    .....     cinta, katil, tangga, longkang, tersembam,  HEHEHE.

Bersara???

Setelah sekian lama bekerja, sejak dua menjak ni,  tiba-tiba terasa pulak nak bersara.  Aku, masih ada hampir 7 tahun lagi untuik bekerja kerana secara sengaja opsyen 58. Adakah kerana terikut-ikut akan kawan-kawan yang menyatakan hasrat untuk bersara atau memang lahir dari keinginan sendiri ?.

                  Bila di fikirkan ,  alahai,  memang teringin sebenarnya untuk bersara awal. Bukan kerana terikut-ikut akan member-member yang akan bersara, seorang demi seorang tak lama lagi.  TIDAK sama sekali,.  Kebelakangan ni, kerja semakin kurang dek kerana lambakan kakitangan yang diambil tidak mengikut keperluan semasa. Sebenarnya kerja tak pernah berkurangan, namun kerana diagih-agihkan sesama sendiri tu, yang menyebabkan kerja berkurangan.  Akibatnya, bila dah kurang kerja , mulalah aktiviti lain di pejabat.  Jika satu ketika dulu, aktiviti mengait, menjahit pernah dilakukan di pejabat. Tu belum lagi berjualan. Ramai tokoh usahawan kat pejabat sebenarnya.  Sekarang di zaman siber ni, aktiviti berFB, main game dalam PC  rancak jugalah. (Banyak kali ditegur). Aktiviti tenggek menenggek, aktiviti cit cat pun bertambahlah...Ada juga aktiviti  ( ni dr sebelum zaman siber lagi ) ," mengeroh.".  Bosannya....

                  Bukan aku sorang yang dah bosan, ramai yang dah bosan. Namun demikian apakan daya, anak masih belajar. Hutang masih banyak. Bagi yang tak berhutang dan anak telah tamat sekolah/belajar serta dah kerja, relaxlah bila-bila boleh BERSARA.

                 AKU? Walau apapun masih tetap kena tunggu the 'BIG 58' kerana bila dah bersara apa yang akan aku buat kat rumah???  Banyak sebenarnya. Semua dalam perancangan. Oleh itu, sabar sajalah sehingga satu ketika....

Thursday 16 June 2011

Nasi Atau Roti

                   Nasi atau roti, kedua-duanya kabohidrat. Doktor tak bagi makan dah nasi. Roti pun hanya roti fiber. Dari dulu,nasi memang makanan wajib. Bangun pagi, nasi lemak, nasi goreng, nasi pulut dah jadi kebiasaan. Bila dewasa, merantau,kenal pulak dengan nasi minyak dan nasi dagang pagi-pagi. Belum lagi nasi ayam, nasi air, nasi impit.  Kalau sekadar nasi tak mengapa lagi, ni siap dengan macam-macam lauk. Sambal ikan bilis, sambal udang, sambal ayam, rendang ayam, ayam paprit, ayam goreng serta berbagai jenis ayam lagi. Daging pulak, rendang lah, masak kicaplah, oporlah, ish macam-macam. Selera je makan tu.
                   Roti, tu makan juga, roti bakar, roti canai, roti prata, capati, roti paun, roti bai, roti gardenia, semua pulun belaka. Kalau setakat makan roti kosong tak palah. Ni tidak siap dengan kuah kari, dalca, ayam, daging, ikan. Semua makan. Tak cukup yang pedas, makan pulak dengan jem, kaya, marjerin, susu, mentega, gula, madu dan macam-macam janji sedap dan menyelerakan.
                   Sekarang, bila doktor kata kurangkan nasi, kurangkan roti, menung di buatnya. Nak makan apa. Sayur je.  Bukan tak makan sayur atau ulam (salad) kata orang puteh., tapi gigi dah tak dapat nak mengunyah dah benda keras. Haha, dah sampai masanya bersedia untuk menghadapi alam  yang satu lagi. Satu persatu nikmat hidup telah di tarik secara pelahan-lahan.
                    Buat masa ni,  aku masih makan nasi dan juga roti seperti biasa. Tak berpantang, pantang jumpa adalah. Cuma kuantiti berkurangan sedikit. Sedikit je.... Tulah kalau dah jadi nenek ni...Walau apapun hati tetap muda... hehe. Ops sorry.